Dino Zoff
|
Zoff bersama Juventus pada 1972 | |||
| Maklumat peribadi | |||
|---|---|---|---|
| Nama penuh | Dino Zoff[1] | ||
| Tarikh lahir | 28 Februari 1942 | ||
| Tempat lahir | Mariano del Friuli, Itali | ||
| Ketinggian | 1.82 m (6 ka 0 in)[2] | ||
| Posisi permainan | Penjaga gol | ||
| Kerjaya Senior* | |||
| Tahun | Pasukan | Kmcln | (Gol) |
| 1961–1963 | Udinese | 38 | (0) |
| 1963–1967 | Mantova | 131 | (0) |
| 1967–1972 | Napoli | 143 | (0) |
| 1972–1983 | Juventus | 330 | (0) |
| Jumlah | 642 | (0) | |
| Pasukan kebangsaan | |||
| 1968–1983 | Itali | 112 | (0) |
| Pasukan diurus | |||
| 1988–1990 | Juventus | ||
| 1990–1994 | Lazio | ||
| 1996–1997 | Lazio | ||
| 1998–2000 | Itali | ||
| 2001 | Lazio | ||
| 2005 | Fiorentina | ||
| * Gol dan kemunculan untuk kelab senior hanya untuk liga domestik | |||
Dino Zoff (sebutan bahasa Itali: [ˈdiːno dˈdzɔf]; lahir 28 Februari 1942) merupakan bekas pemain bola sepak Itali yang beraksi di posisi penjaga gol. Beliau merupakan pemain tertua yang pernah menjuarai Piala Dunia sewaktu beliau menjadi kapten pasukan Itali dalam edisi 1982 pada usia 40 tahun, 4 bulan dan 13 hari. Beliau juga meraih anugerah penjaga gol terbaik kejohanan dan dimasukkan ke dalam bintang pasukan pilihan kejohanan. Beliau juga menjuarai kejohanan Euro 1968 yang diadakan di tanah airnya. Zoff merupakan satu-satunya pemain Itali yang pernah memenangi Piala Dunia dan Kejohanan Eropah.[3] Beliau turut menikmati pencapaian besar bersama Juventus dengan merangkul enam gelaran Serie A, dua trofi Coppa Italia dan satu kejuaraan Piala UEFA. Beliau juga mara ke dua perlawanan akhir Piala Eropah pada musim 1972–73 dan 1982–83 di samping pasukannya bergelar naib juara dalam Piala Antara Benua 1973.
Zoff merupakan penjaga gol yang memiliki kemampuan luar biasa dan dilihat sebagai penjaga gol terbaik yang pernah bermain,[4][5][6] di mana beliau terletak di kedudukan ketiga sebagai penjaga gol terbaik pada abad ke-20 oleh IFFHS di belakang Lev Yashin dan Gordon Banks.[7] Beliau telah memegang rekod penampilan terbanyak tanpa dibolosi gol dalam kejohanan antarabangsa (selama 1,142 minit) antara tahun 1972 dan 1974.[8] Dengan 112 penampilan antarabangsa, beliau merupakan pemain Itali keenam yang melakukan penampilan terbanyak. Pada tahun 2004, Pelé menyenaraikan Zoff sebagai salah seorang daripada 125 pemain terhebat yang pernah hidup. Pada tahun yang sama, Zoff berada di kedudukan kelima dalam kedudukan UEFA Golden Jubilee Poll dan dipilih sebagai pemain paling berharga Itali dalam tempoh masa 50 tahun yang lepas. Beliau juga merupakan pemenang naib juara dalam anugerah Ballon d'Or 1973 selepas pasukannya hampir melengkapkan kejuaraan treble bersama Juventus. Pada tahun 1999, Zoff menduduki tempat ke-49 dalam 100 Greatest Players of the Twentieth Century oleh World Soccer Magazine .[9]
Selepas bersara, Zoff meneruskan kerjaya jurulatihnya dengan mengendalikan pasukan kebangsaan Itali yang berjaya mara ke final Euro 2000 dan beberapa kelab Itali yang lain termasuklah Juventus. Bersama Juventus, pasukannya menjuarai Piala UEFA dan Coppa Italia ketika musim 1989–90, yang juga merupakan trofi yang dimenanginya semasa menjadi pemain Juve. Pada September 2014, Zoff menerbitkan autobiografinya, Dura solo un attimo, la gloria ("Kejayaan hanya Berlangsung Sesaat").[10]
Kehidupan awal
[sunting | sunting sumber]Dino Zoff telah dilahirkan di Mariano del Friuli, Friuli-Venezia Giulia, Itali dalam keadaan keluarga yang bertani. Atas cadangan bapanya, Zoff pada awalnya meneruskan pengajian untuk menjadi mekanik sekiranya kerjaya bola sepaknya tidak berjaya. Sebagai pemain bola sepak muda yang bercita-cita, Zoff juga menggemar sukan-sukan lain dan dua orang role modelnya ialah seorang pelumba basikal, Fausto Coppi dan pelumba jalan kaki, Abdon Pamich.[6][11]
Kerjaya kelab
[sunting | sunting sumber]Udinese, Mantova dan Napoli
[sunting | sunting sumber]
Kerjaya Zoff bermula dengan kelam apabila beliau menghadiri ujian di Inter Milan dan Juventus semasa beliau berusia 14 tahun tetapi tidak berjaya kerana ketinggiannya yang tidak mencukupi.[12] Lima tahun kemudian, ketinggiannya bertambah sebanyak 33 sentimeter (beliau mengikuti cadangan neneknya, Adelaide untuk memakan lapan biji telur setiap hari),[13][14] beliau melakukan penampilan sulungnya di Serie A bersama Udinese pada 24 September 1961 dalam aksi kekalahan 5–2 kepada Fiorentina. Namun, Zoff tidak dipersalahkan dengan jumlah jaringan yang dibolosinya.[15] Zoff hanya melakukan empat penampilan pada musim sulungnya bersama Udinese, yang mana pasukannya tersingkir ke Serie B. Beliau beraksi pada musim berikutnya sebagai penjaga gol utama pasukan sekali gus membantu pasukanyna untuk kembali ke Serie A, sebelum beliau berpindah ke Mantova pada 1963. Di Mantova, beliau menghabiskan empat musim di sana dengan melakukan jumlah 131 penampilan.[16]
Prestasinya bersama Mantova telah menarik perhatian kelab-kelab besar manakala jurulatih pasukan Itali pada masa itu, Edmondo Fabbri ingin mengambilnya sebagai penjaga gol simpanan menjelang kejohanan Piala Dunia 1966. Namun, beliau akhirnya mengambil Enrico Albertosi, Roberto Anzolin dan Pierluigi Pizzaballa sebagai penjaga gol Itali. Pada tahun 1967, Zoff melakukan perpindahan ke Napoli sebagai pertukaran dengan penjaga gol Claudio Bandoni yang menelan kos perpindahan sebanyak 130 juta lira. Beliau menghabiskan lima musim di Naples dengan melakukan 143 penampilan liga bersama kelab itu. Pada masa itu, beliau semakin melonjakkan pengiktirafannya di Itali lalu membolehkannya melakukan kemunculan sulung bersama pasukan Itali pada tahun 1968 serta mendapat tempat dalam skuad Itali ke kejohanan Euro 1968 dan Piala Dunia 1970.[17][18][19]
Juventus
[sunting | sunting sumber]
Berikutan persembahannya bersama pasukan Itali dan Napoli, Zoff diikat oleh Juventus pada tahun 1972 semasa beliau berusia 30 tahun. Sepanjang tempoh sebelas tahun beliau bersama Juventus, Zoff memenangi enam gelaran Serie A, dua trofi Coppa Italia dan satu Piala UEFA serta berjaya melangkah ke dua final Piala Eropah.[20] Pada tahun 1973, beliau menduduki tempat kedua dalam anugerah Ballon d'Or selepas meraih kejayaa Serie A tetapi pasukannya gagal melengkapkan kejuaraan treble selepas mengalami kekalahan dalam aksi final Piala Eropah dan Coppa Italia pada tahun yang sama. Bahkan, Juventus juga tewas dalam final Piala Antara Benua.
Secara keseluruhannya, Zoff telah melakukan 479 penampilan untuk Juventus dalam semua kejohanan di samping tampil dalam 330 perlawanan liga bersama kelab (kesemuanya perlawanan secara berturut-turut; turut menjadi rekod kelab),[21] 74 perlawanan Coppa Italia, 71 perlawanan kejohanan Eropah dan empat perlawanan lain melibatkan kealb. Beliau kini pemain keenam Juventus yang memegang rekod penampilan terbanyak dalam semua kejohanan, pemain ketujuh yang melakukan kemunculan terbanyak di Serie A, pemain ketiga yang melakukan penampilan terbanyak di Coppa Italia, pemain ketujuh yang melakukan penampilan terbanyak di kejohanan Eropah dan pemain kesembilan yang melakukan penampilan terbanyak di kejohanan antarabangsa.[22]
Zoff meraih kejuaraan Serie A terakhirnya bersama Juventus ketika musim 1981-82 serta memenangi Piala Dunia 1982 bersama pasukan Itali pada tahun yang sama, di mana beliau sebagai kapten pasukan. Pada musim berikutnya iaitu musim terakhir kariernya, Zoff menjuarai Coppa Italia serta berjaya mara ke final Piala Eoropah kedua dalam kerjayanya pada tahun 1983; Juventus dikecewakan oleh Hamburg 1-0 pada 25 Mei selepas Zoff gagal menyelamatkan tendangan jarak jauh Felix Magath dalam perlawanan terakhir kariernya. Penampilan liganya yang terakhir hadir pada 15 Mei 1983 pada aksi menewaskan Genoa di gelanggang sendiri.
Kerjaya antarabangsa
[sunting | sunting sumber]Sebelum mewakili pasukan senior Itali, Zoff pernah memenangi pingat emas bersama pasukan bawah-23 Itali dalam Sukan Mediterranean 1963. Pada 20 April 1968, Zoff melakukan penampilan sulungnya bersama skuad senior dalam aksi menewaskan Bulgaria 2-0 di peringkat suku akhir Euro 1968.[23] Zoff dijadikan sebagai penjaga gol utama pasukan sekali gus mengatasi pesaingnya, Enrico Albertosi[24] sepanjang kejohanan. Itali akhirnya menjuarai Kejohanan Eropah di tanah air sendiri manakala Zoff pula berjaya memungut pingat emas kejohanan selepas hanya tampil dalam empat perlawanan bersama Itali. Beliau juga berjaya memastikan dua perlawanan tidak dibolosi jaringan pihak lawan lalu memenangi anugerah penjaga gol terbaik kejohanan. Zoff diketepikan dalam kesebelasan utama Itali semasa kejohanan Piala Dunia 1970. Beliau menjadi penjaga gol kedua pasukan selepas Albertosi yang mana pasukannya mara ke perlawanan akhir sebelum ditewaskan oleh Brazil 4–1. Beliau kembali kepada kesebelasan utama Itali untuk mencabar Albertosi semasa kempen Piala Dunia 1974. Namun, kempen Piala Dunia tersebut dilihat amat mengecewakan bagi Itali apabila mereka kecundang dan tersingkir di pusingan pertama.[25][26]

Sejak tahun 1972, Zoff menyarung jersi nombor 1 pasukan Itali tanpa dinafikan. Beliau mengambil bahagian dalam kempen Piala Dunia 1978 dan pasukannya berjaya menduduki tempat keempat kejohanan. Zoff pula berjaya menghasilkan tiga jersi bersih semasa kejohanan berlangsung. Itali tersingkir di peringkat separuh akhir apabila akur kepada kekalahan 2-1 kepada Belanda. Selepas perlawanan, Zoff dikecam kerana melakukan kesalahan mudah apabila beliau gagal menafikan rembatan jarak jauh oleh Arie Haan.[27] Zoff juga merupakan tonggak utama Itali sekali lagi dalam kejohanan Euro 1980 sekali lagi di tanah airnya. Beliau membantu pasukannya mara ke peringkat separuh akhir kejohanan dan sekali lagi mereka menamatkan kempen kejohanan di tempat keempat. Semasa kejohanan Euro 1980, beliau menghasilkan tiga jersi bersih dengan hanya dibolosi satu gol dalam aksi penentuan pingat gangsa. Itali tewas dalam penentuan penalti tetapi Zoff sekali lagi dipilih sebagai penjaga gol terbaik kejohanan sebagai penghargaan kepadanya yang telah menjuarai kejohanan yang sama pada edisi 1968. Sepanjang kedua-dua kejohanan itu, Zoff telah menghasilkan rekod tanpa bolos dalam Kejohanan Eropah, yang kemudiannya dileburkan oleh Iker Casillas pada tahun 2012. Zoff juga menghasilkan rekod tanpa bolos dalam kelayakan Kejohanan Eropah, yang juga dileburkan oleh rakan senegara, Gianluigi Buffon pada tahun 2011. Walau bagaimanapun, beliau masih lagi memegang rekod tanpa bolos sepanjang Kejohanan Eropah dan kelayakan dengan menghasilkan lapan jersi bersih antara tahun 1975 dan 1980 selama 784 minit. Bersama dengan Casillas, Buffon dan Thomas Myhre, beliau merupakan penjaga gol yang dibolosi gol paling sedikit dalam tiap-tiap Kejohanan Eropah; iaitu hanya bolos satu gol dalam Kejohanan Eropah 1968 dan dalam kalangan pemain tersebut, hanya Zoff dan Casillas yang berjaya menjulang trofi kejohanan akhirnya.
Kejayaan terbesar Zoff ialah dalam kejohanan Piala Dunia 1982 di Sepanyol apabila beliau mengetuai pasukan Itali ketika berusia 40 tahun. Perkembangan ini menjadikan beliau sebagai pemain paling tua yang menjulang trofi Piala Dunia. Sepanjang kejohanan, beliau menghasilkan dua jersi bersih serta berjaya menyelamatkan bola daripada melintasi garisan gol pada lewat permainan peringkat kumpulan menentang pasukan pilihan, Brazil sekali gus membolehkan Itali meraih kemenangan 3-2 lalu menempah tiket ke peringkat separuh akhir.[28][29][30][31] Pada 11 Julai, pada usia 40 tahun dan 133 hari, beliau merupakan pemain paling tua yang tampil dalam final Piala Dunia.[32] Selepas kejayaan Itali menewaskan Jerman Barat 3–1 di Stadium Santiago Bernabéu di Madrid, beliau mengikuti jejak langkah Gianpiero Combi (1934) sebagai penjaga gol kedua yang mengetuai pasukannya untuk memenangi Piala Dunia (seterusnya, diikuti oleh Iker Casillas dan Hugo Lloris yang masing-masing mengetuai Sepanyol dan Perancis pada tahun 2010 dan 2018). Atas persembahannya, beliau telah diundi sebagai Penjaga Gol Terbaik Kejohanan.
Semasa penerbangan pulang menaiki pesawat DC9, kenangan Zoff bersama Pertini (Presiden Itali), Causio dan Bearzot diabadikan dalam satu foto apabila mereka bermain kad scopone scientifico, permainan sukan Itali.[33][34] Pada April 2017, gambar tersebut diletakkan di Muzium Volandia, berdekatan Varese.[35][36][37][38]
Zoff juga memegang rekod terpanjang tanpa dibolosi gol dalam perlawanan antarabangsa (1142 minit) antara tahun 1972 dan 1974. Rekod jersi bersih itu ditamatkan oleh pemain Haiti, Manno Sanon yang menjaringkan gol cantik ketika Piala Dunia 1974. Zoff melakukan penampilan terakhirnya bersama Itali pada 29 Mei 1983 dalam aksi kekalahan 2-0 kepada Sweden di gelanggang lawan pada aksi kelayakan Euro 1984. Saat persaraannya, Zoff merupakan pemain yang paling banyak melakukan kemunculan untuk Itali (112 kaps). Beliau kini menduduki tempat keenam dalam kategori itu dan penjaga gol kedua dalam kedudukan itu selepas Buffon.[39][40]
Kerjaya jurulatih
[sunting | sunting sumber]Selepas bersara, Zoff melangkah ke alam pengurusan dengan menyertai kakitangan teknikal di Juventus. Pada mulanya, beliau menjadi jurulatih penjaga gol walaupun pengalaman yang dimilikinya terbukti belum mencukupi.[41] Beliau seterusnya melatih pasukan Olimpik Itali, yang mana pengalaman pertamanya untuk menjadi jurulatih. Beliau membantu pasukannya untuk menempah kelayakan ke Sukan Olimpik 1988 di Seoul sebelum kembali ke barisan kejurulatihan di Juventus. Pauskan Olimpik Itali menamatkan kempen di tempat keempat kejohanan. Zoff pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatih Juventus dari tahun 1988 hingga 1990.[42] Pada tahun 1990, beliau telah dipecat walaupun menjuarai Piala UEFA dan Coppa Italia ketika musim 1989–90. Malah, beliau juga membantu Juventus untuk menghuni tangga ketiga liga.[43] Beliau kemudiannya menyertai kelab