Mandi wajib
Mandi wajib ataupun mandi junub disebut juga mandi hadas besar adalah mandi yang perlu dilakukan oleh seseorang Muslim untuk membersihkan dirinya daripada hadas besar dan melibatkan perbuatan mandi dengan membasahi seluruh anggota badan. Seseorang lelaki atau perempuan yang mengeluarkan air mani secara sengaja atau tidak, wajib baginya mandi wajib.[1] Kewajipan mandi ini hanya terpakai jika cecair yang keluar adalah air mani. Sekiranya cecair yang keluar ialah air mazi.[1]
Hukum mandi
[sunting | sunting sumber]Mandi wajib ataupun mandi junub adalah wajib ke atas orang Muslim untuk membersihkan dirinya daripada hadas besar.[1]
Perkara-perkara yang membawa kepada mandi wajib
[sunting | sunting sumber]Seorang Muslim perlu mengerjakan mandi wajib dalam keadaan berikut :
- Jimak iaitu melakukan persetubuhan (bertemu dua khitan) apabila zakar dimasukkan ke dalam faraj walaupun tidak keluar air mani.
- Keluar air mani walaupun zakar tidak dimasukkan ke dalam faraj. Begitu juga keluar air mani kerana bermimpi syahwat (wet dream)
- Keluar darah Haid bagi wanita.
- “Jika datang haid, maka tinggalkan solat. Dan jika telah lewat, maka mandi dan Solatlah” (HR. Al Bukhari no. 320, Muslim no. 333, Abu Daud no. 279, At Tirmizi no. 125 dan An Nasa’i I/186)”
- Nifas iaitu darah yang keluar dari faraj wanita ketika melahirkan anak (Wiladah)
- Wiladah - wanita yang melahirkan anak.
- Mati kecuali mati syahid
- Masuk Islam orang dari ajaran sebelumnya ("kafir").
- Dari Qais bin Ashim, ia menceritakan bahawa ketika ia masuk Islam, Nabi SAW menyuruhnya mandi dengan air dan bidara (HR. At Tirmidzi no. 602 dan Abu Dawud no. 351, disahihkan oleh Syeikh Albani dalam Irwaa’ul Ghalil no. 128)
Rukun
[sunting | sunting sumber]Rukun mandi ada tiga perkara meliputi:
- Niat dengan tujuan membezakan ibadat dan adat. Niat ini sekadar dilafazkan di dalam hati dan tidak perlu dilafazkan secara zahir (secara lisan).[2] Disebabkan ramai orang mandi di dalam bilik air, maka tidak perlu menyebut niat secara zahir kerana ada nama Allah dalam niat.
- Menghilangkan kotoran dan najis pada badan.
- Meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir termasuk segala lipatan-lipatan badan. (Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah)
Niat
[sunting | sunting sumber]Niat mandi wajib secara ringkasnya adalah "Sahaja aku mandi wajib kerana Allah Taala. "Niat itu hendaklah disertakan ketika air sampai ke bahagian anggota badan. Lafaz niat yang lain "nawaitul ghusla liraf'il hadatsil akbari janabati fardhal lillaahi ta'aalaa" (Ertinya: Sahaja aku mandi wajib untuk menghilangkan hadas besar dan mandi wajib kerana Allah Taala). Cukup lintas hati dan tak disebut dengan lidah sebab mandi di tempat seperti tandas dan bilik mandi tidak boleh menyebut nama Allah.
Untuk wanita yang mandi wajib kerana hadas haid, niat mandi wajib adalah "Sahaja aku mengangkat hadas haid kerana Allah Taala." manakala bagi wanita yang habis nifas, niat mandi wajib ialah "Sahaja aku mengangkat hadas nifas kerana Allah Taala".
Niat mandi wajib hendaklah dilafazkan apabila mula terkena air kepada mana-mana bahagian anggota mandi. Sekiranya niat dilafazkan selepas dia telah membasuh anggota badannya, mandi wajibnya tidak sah dan dia mestilah memulakan kembali niatnya ketika dia mula menyampaikan air ke seluruh anggota badannya. Sekiranya dia berniat sebelum air sampai ke badan, niat itu juga tidak sah dan dia mestilah memulakan kembali niatnya ketika dia mula menyampaikan air ke seluruh anggota badannya.
Orang yang tidak berniat mandi wajib tidak memenuhi rukun mandi wajib dan dengan itu tidak boleh dikatakan telah mengerjakan mandi wajib. Dia hanya sekadar mengerjakan mandi biasa (mandi adat), dan masih terikat dengan larangan yang dikenakan ke atas orang yang berhadas besar.
Cara mandi wajib
[sunting | sunting sumber]Mandi wajib hendaklah dikerjakan menggunakan menggunakan air mutlak, iaitu air yang suci lagi menyucikan, dan tidak sah jika menggunakan air yang bukannya air mutlak.
Cara mandi wajib mengikut sunnah Rasulullah SAW.
Berdasarkan hadis dari Aisyah R.A., :
عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الْجَنَابَةِ يَبْدَأُ فَيَغْسِلُ يَدَيْهِ، ثُمَّ يُفْرِغُ بِيَمِينِهِ عَلَى شِمَالِهِ فَيَغْسِلُ فَرْجَهُ، ثُمَّ يَتَوَضَّأُ وُضُوءَهُ لِلصَّلَاةِ، ثُمَّ يَأْخُذُ الْمَاءَ فَيُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي أُصُولِ الشَّعْرِ، حَتَّى إِذَا رَأَى أَنْ قَدْ اسْتَبْرَأَ، حَفَنَ عَلَى رَأْسِهِ ثَلَاثَ حَفَنَاتٍ، ثُمَّ أَفَاضَ عَلَى سَائِرِ جَسَدِهِ، ثُمَّ غَسَلَ رِجْلَيْهِ.[3]
Maksud hadis:“Dahulu, jika Rasulullah SAW hendak mandi janabah (junub), beliau membasuh kedua tangannya. Kemudian menuangkan air dari tangan kanan ke tangan kirinya lalu membasuh kemaluannya. Lantas berwuduk sebagaimana berwuduk untuk solat. Lalu beliau mengambil air dan memasukkan jari-jemarinya ke pangkal rambut. Hingga beliau menganggap telah cukup, beliau tuangkan ke atas kepalanya sebanyak 3 kali tuangan. Setelah itu beliau guyur seluruh badannya. Kemudian beliau basuh kedua kakinya” (HR. Al Bukhari dan Muslim)[3][4]
Tatacara mandi[5]
[sunting | sunting sumber]- Mulakan niat ketika air sampai atau menyentuh bahagian tubuh pertama semasa mandi. Niat mandi wajib tidak perlu dilafaz. Cukup sekadar menyatakannya di dalam hati. Niat mandi wajib yang umum (keluar air mani, haid dan nifas): "Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala." Sementara niat mandi hadas haid: "Aku berniat mandi untuk menghilangkan hadas haid kerana Allah Taala."[5]
- Membaca bismillah.[5]
- Mencuci kedua-dua pergelangan tangan sebanyak tiga kali.[5]
- Mencuci kemaluan menggunakan tangan kiri.[5]
- Membersihkan tangan sekali lagi dengan sabun.[5]
- Berwuduk sempurna seperti biasa.[5]
- Membasuh kepala dengan mengusap rata seluruh rambut, kemudian menyiramnya dengan tiga kali curahan air menggunakan kedua-dua tangan. Langkah ini adalah berdasarkan hadis daripada Aisyah RA dalam Sahih al-Bukhari laitu: "Kemudian Baginda SAW memasukkan jarinya ke dalam air, lalu mengusap rambut, kemudian menyiram kepala tiga kali dengan kedua-dua tangannya." Ketika menyiram kepala, hendaklah dimulakan dengan bahagian kanan, diikuti dengan bahagian kiri. Hal ini berlandaskan hadis Aisyah RA yang bermaksud: "Baginda SAW menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudian bahagian kiri." Bagi kaum wanita yang ingin mandi haid atau junub, perlulah melepaskan ikatan rambut. Hal ini berdasarkan hadis Aisyah RA dalam Sahih al-Bukhari, di mana beliau datang haid ketika menunaikan haji. Lalu Baginda Rasulullah SAW berkata: "Tinggalkanlah umrahmu, lepaskanlah ikatan rambutmu (ketika mandi) dan sisirlah rambutmu."[5]
- Memulakan basuhan (alirkan air) daripada kepala hingga ke kaki dengan mendahulukan bahagian kanan tubuh, diikuti dengan bahagian kiri tubuh. Menurut Aisyah RA: "Sesungguhnya Rasulullah SAW suka mendahulukan bahagian kanan pada semua urusannya, ketika memakai kasut, ketika bersikat dan ketika bersuci," Sahih Muslim. Hanya perlu mengalirkan air ke seluruh tubuh sebanyak satu kali, namun jika ada kemudahan air yang lebih, diharuskan untuk melakukannya sehingga tiga kali (hukumnya sunat). Tetapi makruh hukumnya jika melebihi tiga kali basuhan kerana dikira sudah membazirkan air.[5]
- Meratakan air ke seluruh tubuh dan sunat hukumnya untuk menggosok lembut seluruh tubuh. Diharuskan untuk menggunakan wangian (sabun) semasa mandi.[5]
- Berwuduk jika hendak mengerjakan solat kemudiannya (jika wuduk awal tadi sudah terbatal kerana menyentuh kemaluan semasa mandi, mandi wajib sah tapi wuduk itu untuk solat yang ingin dikerjakan lepas mandi).[5]
Shower
[sunting | sunting sumber]Jika dia mandi dengan menggunakan “shower”, tidak perlu tiga kali, memadai telah yakin air telah meratai seluruh badan dari kepala ke hujung jari.
Mandi sungai atau tasik
[sunting | sunting sumber]Jika mandi di sungai atau tasik, cukup sekadar niat mandi wajib dan terus terjun mandi sekaligus meratakan air keseluruh badan.
Untuk wanita pula, oleh kerana rambut wanita lebih panjang, maka disunatkan diuraikan rambut. Jika rambut seseorang itu ditocang atau disanggul, sekiranya tak sampai air ke dalamnya, tocang atau sanggul tersebut hendaklah dibuka untuk membolehkan air sampai.
Seseorang itu elok memakai kain hingga ke lutut seperti yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.
Najis di badan
[sunting | sunting sumber]Jika ada najis di badan, najis itu boleh dibasuh serentak dengan mandi wajib iaitu membasuh najis dengan mandi wajib itu boleh disekalikan (Imam Nawawi) untuk memenuhi rukun kedua mandi wajib.
Keperluan mengambil wuduk
[sunting | sunting sumber]Seseorang yang telah mengerjakan mandi wajib tidak perlu mengambil wuduk semula untuk mengerjakan solat dengan syarat dia tidak melakukan perkara yang membatalkan wuduk selepas dia mengerjakan mandi wajib.[6][7] Jika terbatal, dia perlu hanya mengambil semula wuduknya sahaja.[6][7]
Perkara-perkara sunat
[sunting | sunting sumber]Pada masa mandi kita disunatkan menghadap kiblat, membaca basmalah mengosok-gosok seluruh badan, tertib dan muwalat, iaitu tindakan berturut-turut/berterusan. Meninggalkan bercakap-cakap sepanjang waktu mandi.
Bagi wanita yang mandi disebabkan haid dan nifas, disunatkan menggunakan perfume selepas mandi supaya harum dari bau darahnya.
Perkara Berkaitan
[sunting | sunting sumber]Melewatkan Mandi Wajib
[sunting | sunting sumber]Mandi wajib boleh ditunda dari malam sehingga siang. Dengan itu, pasangan yang berjimak boleh melewatkan untuk mandi wajib sehingga pagi dan mengerjakan mandi solat subuh, tetapi pasangan itu disunatkan berwuduk sebelum tidur jika ingin melewatkan mandi wajib mereka hingga ke pagi. Jika tidur terus tanpa berwuduk, hukumnya adalah makruh.[8] Seseorang itu boleh melewatkan mandi wajib sebelum solat. Setelah masuk waktu solat, ia wajib mandi sebelum boleh menunaikan solat.
Puasa
[sunting | sunting sumber]Suci daripada hadas besar (junub/haid) bukanlah syarat sah bagi ibadah puasa.[9] Syarat suci tersebut hanyalah diwajibkan untuk menunaikan solat.[9] Berikut adalah dalil sahih daripada hadis Muttafaqun 'alaih (riwayat Al-Bukhari dan Muslim) yang menjadi sandaran utama para ulama (Jumhur Ulama) dalam menetapkan bahawa puasa seseorang tetap sah walaupun dia berada dalam keadaan berjunub selepas masuk waktu Subuh:
Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim
Daripada Saidatina Aisyah RA dan Ummu Salamah RA:
أَنَّ اَلنَّبِيَّ – صلى اللّه عليه وسلم -كَانَ يُصْبِحُ جُنُبًا مِنْ جِمَاعٍ, ثُمَّ يَغْتَسِلُ وَيَصُومُ
Maksudnya:"Sesungguhnya Nabi SAW pernah bangun pagi (masuk waktu Subuh) dalam keadaan berjunub akibat jima' (bersama isteri pada malam hari), kemudian Baginda mandi (wajib) dan meneruskan berpuasa." (Hadis Riwayat Al-Bukhari, no. 1926 dan Muslim, no. 1109). [10][11]
Tambahan dalam Riwayat Imam Muslim Dalam riwayat lain oleh Imam Muslim yang bersumberkan daripada Ummu Salamah RA,[12] terdapat penegasan tambahan:
وَعَنْ عَائِشَةَ وَأُمِّ سَلَمَةَ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهُمَا { أَنَّ اَلنَّبِيَّ - صلى الله عليه وسلم -كَانَ يُصْبِحُ جُنُبًا مِنْ جِمَاعٍ, ثُمَّ يَغْتَسِلُ وَيَصُومُ } مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ 1 . زَادَ مُسْلِمٌ فِي حَدِيثِ أُمِّ سَلَمَةَ: [ وَ ] لَا يَقْضِي 2 .
Maksudnya:
"Dan Baginda (Nabi SAW) tidak mengqada (ganti) puasanya." (Hadis Riwayat Muslim, no. 1110).[11]
Ragu-ragu
[sunting | sunting sumber]Jika seorang yang mengerjakan solat tetapi ragu-ragu sama ada dia sudah mandi wajib atau tidak, maka seluruh solat yang telah dikerjakannya (selama itu) adalah tidak sah, dan untuk solat-solat berikutnya, dia harus menunaikan mandi wajib terlebih dahulu, barulah solatnya dianggap sah.
Ketiadaan air (atau mudarat tidak boleh terkena air)
[sunting | sunting sumber]Menurut Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah rh. (Majmu' Fatawa, 21/396) jika terdapat sebab untuk melakukan tayammum, seperti ketiadaan air, atau tidak dapat menggunakannya akibat sakit, maka tayammum akan menggantikan wuduk dan mandi wajib. Maka seseorang yang junub hendaklah bertayammum lalu bersolat, kemudian apabila ada air (diperbolehkan menggunakan air untuk yang mudarat), maka hendaklah mandi menghilangkan janabahnya tersebut.
Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Al-Ma'idah, ayat 6:[13]
وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا[13]
Maksudnya: "Dan jika kamu sakit atau dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu) yang bersih..."[13]
Daripada Imraan ibn Hussain ra. "bahawa Rasulullah saw melihat seorang lelaki yang menjauhkan diri dan tidak bersolat dengan kaumnya, maka baginda berkata : Ya si fulan, apa yang menghalang kamu dari tidak bersolat dengan kaummu? Dia menjawab : Ya Rasulullah, saya dalam keadaan junub, dan tiada air. Baginda berkata : Kamu hendaklah menggunakan tanah yang bersih, kerana ia mencukupi untukmu..... di dalam riwayat lain Nabi saw menjumpai air dan memberinya kepada orang yang telah menjadi junub tersebut, dan berkata : pergilah siram ini ke atas dirimu." [Hadith riwayat al-Bukhari #344 dan #348].
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- 1 2 3 "Jabatan Mufti Negeri Selangor". emusykil.muftiselangor.gov.my. Dicapai pada 2026-09-30.
- ↑ "10 Cara Betul Mandi Wajib Mengikut Sunah". ikhlas.com. Dicapai pada 2026-09-30.
- 1 2 "Bathing (Ghusl) - Sunnah.com - Sayings and Teachings of Prophet Muhammad (صلى الله عليه و سلم)". sunnah.com. Dicapai pada 2026-09-30.
- ↑ "Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan - IRSYAD AL-FATWA SERIES 506: IS IT NECESSARY TO PERFORM THE OBLIGATORY BATH FOR A WOMAN WHO MASTURBATED EVEN IF SHE DID NOT EJACULATE?". muftiwp.gov.my. Dicapai pada 2026-09-30.
- 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 "10 Cara Betul Mandi Wajib Mengikut Sunah". ikhlas.com. Dicapai pada 2026-09-30.
- 1 2 "Jabatan Mufti Negeri Selangor". emusykil.muftiselangor.gov.my. Dicapai pada 2026-09-30.
- 1 2 "TikTok - Make Your Day". www.tiktok.com. Dicapai pada 2026-09-30.
- ↑ "Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan - AL-KAFI #1618: HUKUM ORANG BERJUNUB TIDUR SEBELUM MANDI WAJIB". www.muftiwp.gov.my. Dicapai pada 2026-09-30.
- 1 2 "Mandi Wajib Selepas Sahur : Sah Atau Tidak Puasa Jika Masih Junub Ketika Subuh?". Newswav. Dicapai pada 2026-09-30.
- ↑ "Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan - AL-KAFI # 592 : HUKUM MANDI JUNUB SELEPAS TERBIT FAJAR PADA BULAN RAMADAN". www.muftiwp.gov.my. Dicapai pada 2026-09-30.
- 1 2 "Hadith - Fasting - Bulugh al-Maram - Sunnah.com - Sayings and Teachings of Prophet Muhammad (صلى الله عليه و سلم)". sunnah.com. Dicapai pada 2026-09-30.
- ↑ "Instagram". www.instagram.com. Dicapai pada 2026-09-30.
- 1 2 3 "Surah Al-Ma'idah Ayah 6 - Baca, Dengar, Terjemahan, Tafsir". Quran.com. Dicapai pada 2026-09-30.