Ukhwah dan Bersedia

Bismillahirrahmanirrahim.

Sahabat-sahabat sudah mula meminta saya untuk mengemaskini blog. Beberapa persoalan yang mereka ajukan dan sudah tentu soalan yang paling popular adalah "Kenapa dah lama tak menulis?". Kerap saya diamkan sahaja kerana saya sendiri turut mengajukan soalan yang sama kepada diri sendiri.

Namun beberapa kemungkinan yang boleh dijadikan alasan mudah kepada soalan tersebut antaranya "Sekarang saya agak sibuk dengan program-program MPP, tiada masa", atau "Saya sendiri tak tahu apa yang saya nak tulis", atau "Apa yang saya mahu tulis orang lain sudah tulis".

Akan tetapi jawapan-jawapan tersebut sememangnya tidak layak untuk menggambarkan diri sebagai seorang mahasiswa kerana sebagai mahasiswa, masa bukanlah alasan, idea bukanlah alasan, kehadiran orang lain juga bukanlah alasan.

Sebesarmanakah tanggungjawab saya jika hendak dibandingkan dengan kerajaan Nabi Sulaiman A.S.?

Beberapa peristiwa telah berlaku sepanjang tempoh penulisan terakhir saya hingga ke detik ini. Bermula dengan Hari Keluarga di Port Dickson, program Internasional Student Leaders Conference (ISLC), Simposium Maulidul Rasul, Kem Kepimpinan hingga kepada pemulangan semula kerja kursus saya minggu lalu menidakkan alasan bahawa tiada perkara penting yang boleh saya ceritakan.

Begitulah lumrah seorang penulis. Idea tidak datang dengan mudah. Kadang tercari-cari topik yang ingin dikongsi. Tidak kesemuanya kita sanggup untuk berkongsi bersama kerana kadang-kala memori itu hanya sesuai disimpan dengan mereka yang memahami dan mendalami.

UKHWAH

Topik utama yang berlegar di fikiran saya sehingga saat ini. Pengertian ukhwah yang ditafsir semula setelah melalui beberapa sesi ujian dan menempuh cabaran atas kehendak Illahi. Bukan maksud saya untuk mentafsir secara membuta-tuli tetapi satu tafsiran berdasarkan pengalaman peribadi seseorang terhadap Ukhwah yang 'terikat' pada diri.

Asas ukhwah dalam Islam ialah akidah Islamiyah. Hanya Allah Taala sahaja yang mampu untuk menyatukan jiwa-jiwa manusia. Dengan memahami dan menghayati akidah Islamiyah, umat Islam akan menjadi umat yang bersatu dan cemerlang. Seperti firman Allah Taala :

وَإِن يُرِيدُوٓاْ أَن يَخۡدَعُوكَ فَإِنَّ حَسۡبَكَ ٱللَّهُ‌ۚ هُوَ ٱلَّذِىٓ أَيَّدَكَ بِنَصۡرِهِۦ وَبِٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِہِمۡ‌ۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِى ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعً۬ا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَـٰڪِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَہُمۡ‌ۚ إِنَّهُ ۥ عَزِيزٌ حَكِيمٌ۬

"Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberi perlindungan) kepadamu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolongannya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman Dan Dialah yang menyatupadukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana '.
(Al-Anfal : 62 -63)
Rasulullah S.A.W bersabda :
" Tidak beriman seseorang dari kamu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri ". ( Riwayat : Bukhari & Muslim )

Ukhwah bukanlah sesuatu yang retorik dan skema tetapi ukhwah mestilah jujur dan ikhlas dengan unsur-unsur keceriaan yang mewarnai kehidupan berkeluarga. Ukhwah yang ceria mampu menandingi kemandoman ukhwah yang 'formal' dan statik.

Cabaran utama ke arah penyatuan jiwa ukhwah Islamiah yang paling besar ialah perbezaan mazhab, pendapat dan ideology. Perbezaan pendapat yang membawa kepada perpecahan telah wujud dalam sejarah peradaban Islam bermula dari kewafatan Rasulullah. Masyarakat Islam telah berbeza pendapat tentang siapa yang layak sebagai pengganti Rasulullah untuk menjadi ketua umat Islam. Kemuncak kepada perbezaan pendapat ini telah menyebabkan perpecahan aliran pemikiran dalam Islam. Golongan-golongan ini saling menidakkan sumbangan pihak yang lain dan melahirkan pelbagai slogan dan fatwa yang bercanggah.

Perbezaan yang paling ketara ialah antara golongan syiah dan sunni. Malah dalam kelompok sunni sendiri telah berpecah kepada empat mazhab yang besar. Umat Islam sewajarnya melihat perpecahan sebagai satu rahmat kepada seluruh umat Islam. Perpecahan ini sewajarnya menjadi sesuatu yang saling mengukuhkan dan mengisi kekosongan antara satu sama lain.

tautan ukhwah

Kewujudan tembok pemisah antara ahli keluarga merupakan halangan utama yang membatasi persaudaraan yang dengannya, tanggungjawab sesama ahli keluarga terbatas hingga membawa kepada perpecahan dan kehancuran.

Kepentingan diri merupakan tembok yang paling besar kepada penyatuan ummah. Seringkali manusia kalah apabila berlaku konflik antara kepentingan diri dan kepentingan umum. Prinsip Islam jelas, bahawa apabila berlaku konflik ini, kepentingan umum adalah mengatasi. Di sini, kekuatan iman yang melahirkan ukhuwah Islam yang sebenar akan diuji. Hanya Iman dan takwa mampu mengenepikan kepentingan diri demi untuk saudara seislam dan agama Islam umumnya.

Ukhwah fillah (persaudaraan Islam) bukanlah sesuatu yang dapat dibeli dengan harta dan juga bukan warisan dari ibu-bapa. Ianya merupakan kesatuan roh yang disaluti cinta suci dan dilimpahi kasih Ilahi. Semua ini dalam bentuk rahsia yang Allah kehendaki. Tautan dan jaringan rahsia ini mampu menguasai dua hati mukmin yang belum pernah bertemu dan berkenalan sebelumnya. Mereka secara ajaib merasai tali persaudaraan yang mengikat antara satu sama lain. Tidak sanggup berpisah dan tidak sabar menunggu untuk bertemu kembali. Mereka sama-sama merasai nikmat kesetiaan dan persaudaraan.

Maha Suci Allah yang telah mempersaudarakan setiap hati mukmin dengan aqidah Islam. Ikatan ini begitu teguh terpelihara di sisi Allah. Tiada sesiapa pun dan apa jua kuasa pun yang dapat memutuskannya, selagimana individu terbabit mempertahankan keimanan dan ketaqwaan.

Perhatikan dengan teliti maksud hadis berikut;
“Roh-roh itu bagaikan bala tentera. Mana-mana askar yang berkenalan antara satu sama lain akan bersatu dan mana-mana yang tidak mengenali antara satu sama lain, akan pula berselisih”. (HR Bukhari dan Muslim).

Semoga Allah mengikat antara hati-hati kita dengan ikatan ukhwah fillah yang telah dijanjikanNya untuk beroleh limpahan kasihNya,
Rasulullah SAW bersabda; “Allah berfirman: cintaKu pasti akan mereka perolehi bagi orang yang saling mengasihi kerana Aku, saling mengunjungi kerana Aku, dan saling memberi kerana Aku”.

BERSEDIA

Satu lagi perkara yang turut berlegar dalam benak pemikiran ini. Menyedari keberadaan diri yang masih kurang lengkap dengan persiapan ke alam seterusnya, persoalan ini timbul persis seperti yang kerap dibicarakan di ruang-ruang maya, bicara sahabat-sahabat serta kuliah-kuliah yang dihadiri.

Bukanlah diri ini mahu menjangkaui lumrah dan kebiasaan, setidaknya persoalan 'Bersedia?' ini mampu membuat kita berfikir secara waras dan lebih matang sehinggakan usia cognitive melampaui usia sebenar tubuh manusia. Sememangnya keadaan sekelilinglah yang mempengaruhi usia cognitive seseorang.

upie merenung masa hadapan

Dalam mencari jawapan kepada kesediaan, perancangan serta persiapan ke arah itu diatur supaya keadaan masa hadapan lebih mudah dan banyak permasalahan-permasalahan yang kerap berlaku dapat diatasi.

Penyesalan merupakan perkara yang ditakuti. Kegagalan tanpa usaha amat berbaloi dengan penyesalan dan kekecewaan yang dirasa. Kegagalan walau dengan usaha merupakan satu tarbiyah yang mendidik seseorang agar lebih kukuh keimanan dan ketakwaan ke Allah s.w.t.

Analogi-analogi yang berjelar masih belum cukup merobohkan tembok keegoan seseorang yang sememangnya golongan tersebut amat terkenal dengan sifatnya itu.

Malah, keegoan itu jugalah yang membatasi tindakan yang perlu dilakukan dan inilah jawapan kepada persoalan dan masalah terhadap tindakan.

Namun, tidak dinafikan bahawa ilmu ke arah alam seterusnya perlu juga dipertingkatkan dan kesediaan itu bukanlah suatu yang general tetapi ianya suatu yang lengkap malah pasti dan yakin.

Mungkin saya bukanlah orang yang layak untuk berbicara atau membahaskan mengenai perkara sebegini namun sememangnya hal inilah yang turut mengisi ruang dalam kepadatan pemikiran saya.

Dan seruan itu mula diberi perhatian oleh 'si kecil' ini

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا


MOHD AINUDDIN BIN KHAIRUDDIN
Mahasiswa Jurusan Senibina
Fakulti Alam Bina
Universiti Teknologi Malaysia