Pergi ke kandungan

Isao Harimoto

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Isao Harimoto
張本 勲
Harimoto pada 1960
Outfielder
Dilahirkan: Jang Hun (장훈)
(1940-06-19) 19 Jun 1940 (umur 86)
Hiroshima, Jepun
Pukulan: Kiri Balingan: Kiri
NPB debut
10 April, 1959, untuk Toei Flyers
Penampilan NPB terakhir
10 Oktober, 1981, untuk Lotte Orions
Statistik NPB
Purata pukulan.319
Home run504
Pukulan3,085
RBI1,676
Larian1,523
Stolen base319
Pasukan
Kerjaya cemerlang dan anugerah

Rekod NPB

  • 3085 karier pukulan
Ahli Jepun
Baseball Hall of Fame
Pelantikan1990

Isao Harimoto (張本 勲, Harimoto Isao, lahir 19 Jun 1940) ialah bekas pemain Nippon Professional Baseball (NPB) berketurunan Korea–Jepun. Sepanjang 23 musim kerjayanya dalam liga profesional Jepun, Harimoto bermain untuk Toei Flyers / Nittaku Home Flyers / Nippon-Ham Fighters, Yomiuri Giants dan Lotte Orions. Beliau merupakan pemegang rekod pukulan terbanyak dalam sejarah liga besbol profesional Jepun. Harimoto merupakan seorang etnik Korea dengan nama asalnya Jang Hun (Korea: 장훈; Hanja: 張勳).[1] Walaupun beliau telah menetap di Jepun sepanjang hidupnya dan menggunakan nama Jepun, beliau kekal sebagai warganegara Korea menjadikannya antara Zainichi Korea (orang Korea yang menetap di Jepun)[2] yang terkenal selama bertahun-tahun.

Satu kemalangan pada zaman kanak-kanak menyebabkan Harimoto terpaksa bermain menggunakan tangan kiri. Apabila beliau mula berminat dalam sukan besbol, Harimoto berusaha menyesuaikan diri dengan bermain dan memukul bola menggunakan tangan kirinya, yang akhirnya membolehkannya menyertai liga utama pada tahun 1959. Sebagai pemain rookie, beliau mencatatkan purata pukulan .275 dalam 125 perlawanan dengan 115 pukulan, sekali gus dinobatkan sebagai Rookie Terbaik Liga Pasifik. Pada musim berikutnya, prestasinya meningkat dan beliau menerima pemilihan All-Star pertama serta Anugerah Best Nine. Sepanjang dekad 1960-an, Harimoto disenaraikan ke dalam Best Nine setiap musim.

Beliau merupakan pendahulu carta pukulan liga pada tahun 1961 dengan purata pukulan .336, mencatatkan 159 pukulan dan 24 home run. Pada tahun 1962, beliau mencapai musim pertamanya dengan lebih daripada 30 home run, membantu Flyers memenangi kejuaraan Liga Pasifik pertama mereka dan sekali gus menerima Anugerah Pemain Terbaik (MVP) Liga Pasifik. Flyers kemudiannya menjuarai Japan Series dalam aksi tujuh perlawanan, satu-satunya kejuaraan dalam karier Harimoto.

Harimoto terus mengumpul pelbagai pencapaian sepanjang kerjayanya, termasuk tujuh pencapaian sebagai pendahulu pukulan antara 1961 hingga 1974 sebelum beliau dipindahkan ke Yomiuri Giants pada tahun 1975. Bersama Giants, beliau menerima dua lagi anugerah Best Nine, dengan yang terakhir pada tahun 1977 ketika berusia 37 tahun. Pada tahun 1980, beliau berpindah ke Lotte Orions, ketika berada di ambang mencipta sejarah besbol Jepun. Dalam musim tersebut, beliau menjadi pemain pertama dalam sejarah besbol Jepun yang mencapai 3,000 pukulan, dan tidak lama selepas itu mencatat home run ke-500 dalam kariernya, menjadikannya pemain Jepun pertama dengan 500 home run dan 300 stolen base.

Dianggap antara pemukul paling serba boleh dalam sejarah NPB, Harimoto mencatat 16 musim dengan sekurang-kurangnya 20 home run, lima musim dengan 20 atau lebih stolen base, dan purata pukulan .300 dalam 16 musim berbeza sepanjang 23 tahun kariernya. Beliau dilantik ke dalam Dewan Kemasyhuran Besbol Jepun pada tahun 1990, dan kini berkhidmat sebagai penganalisis besbol televisyen.

Kehidupan awal

[sunting | sunting sumber]

Keluarga Harimoto berpindah ke Jepun dari Korea bagi mencari peluang ekonomi yang lebih baik tidak lama sebelum beliau dilahirkan, ketika Semenanjung Korea masih di bawah pemerintahan kolonial Jepun, dan menetap di Hiroshima. Pada usia empat tahun, ketika sedang bermain di luar berhampiran unggun api yang dinyalakan untuk memanaskan udara waktu malam, sebuah lori tiba-tiba mengundur ke arahnya. Dalam usaha mengelak daripada dilanggar, tangan kanannya tersentuh api, menyebabkan luka bakar teruk yang mengehadkan pergerakan ibu jari dan jari telunjuk, manakala tiga jari tengahnya terbakar teruk dan kekal bengkok serta tidak dapat digunakan sepenuhnya.

Kecederaan itu memaksa Harimoto menjadi pemain kidal sepenuhnya, baik ketika melontar mahupun memukul bola. Beliau menggunakan sarung tangan khas yang direka untuk menutupi tangan kanannya yang cedera, namun masih membolehkannya menangkap bola. Bentuk jari yang parut dan bengkok itu membolehkan kayu pemukul diselit di antara jari-jarinya. Harimoto pernah menceritakan bahawa ketika kecil, beliau berlatih menghayun kayu pemukul hanya dengan tangan kanannya, bagi menguatkan semula anggota yang cedera agar dapat berfungsi dengan lebih baik.

Harimoto juga terselamat daripada pengeboman atom di Hiroshima pada 6 Ogos 1945, dan dikenali sebagai satu-satunya mangsa terselamat letupan bom atom yang kemudian menjadi pemain besbol profesional di Jepun. Beliau tidak mengalami kecederaan kerana rumah keluarganya terlindung di sebalik sebuah gunung yang menghalang kesan letupan, namun kehilangan seorang kakak yang berada di kawasan letupan.

Pada usia dewasa, Harimoto menyertai Gerakan Hibakusha Jepun, sebuah gerakan yang memperjuangkan pengharaman senjata nuklear di seluruh dunia serta pampasan untuk mangsa letupan atom.

Pada Disember 2024, Harimoto mendedahkan dalam satu temu bual bersama akhbar Sankei Shimbun bahawa beliau telah memperoleh kewarganegaraan Jepun beberapa tahun sebelumnya.[3]

Isao Harimoto memulakan kerjaya profesionalnya bersama pasukan Toei Flyers pada tahun 1959, dan telah dipilih sebagai Rookie Terbaik pada musim pertamanya.[4] Beliau dikenali sebagai seorang pemukul berbahaya yang memiliki gabungan kuasa dan kelajuan. Dengan 3,085 pukulan sepanjang kerjaya, Harimoto memegang rekod sepanjang zaman bagi jumlah pukulan terbanyak dalam sejarah Nippon Professional Baseball (NPB). Dalam kalangan pemain kelahiran Jepun, Ichiro Suzuki kemudian melepasi jumlah tersebut pada tahun 2009, apabila digabungkan dengan pencapaiannya dalam liga utama Amerika Syarikat (MLB). Namun begitu, Harimoto kekal sebagai satu-satunya pemain yang berjaya mengumpul lebih daripada 3,000 pukulan dalam liga Jepun sahaja, satu pencapaian yang beliau capai pada 28 Mei 1980 ketika bermain untuk Lotte Orions melalui pukulan home run.

Selepas mencapai kejayaan tersebut, beliau telah dianugerahkan Pingat Maengho (맹호장) di bawah Pingat Kecemerlangan Sukan Korea Selatan, sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan dalam bidang sukan.

Sepanjang kariernya, Harimoto telah merekodkan 504 home run, menjadikannya berada di tangga ketujuh dalam senarai pemukul paling prolifik dalam sejarah besbol Jepun. Ketika menyertai Yomiuri Giants pada tahun 1976, beliau sering diletakkan dalam giliran memukul selepas Sadaharu Oh dalam barisan pemukul, dan berada di “on deck circle” ketika Oh memecahkan rekod Hank Aaron dengan home run ke-756.

Dengan 319 stolen base, Harimoto menjadi antara segelintir pemain yang memiliki gabungan statistik luar biasa, iaitu 3,000 pukulan, 500 home run, dan 300 stolen base. Perkembangan ini menjadi suatu pencapaian yang dalam sejarah MLB yang hanya pernah dicapai oleh Willie Mays[5] dan Alex Rodriguez.[6]

Rekod gabungan pukulan terbanyak oleh pemain Jepun kekal milik Harimoto sehinggalah Ichiro Suzuki melepasi jumlah tersebut pada tahun 2009. Dalam satu temu bual ketika itu, Harimoto menyatakan bahawa beliau sudah menjangkakan Suzuki berpotensi memecahkan rekodnya seawal tahun 1996, selepas Ichiro mengumpul 210 pukulan sebagai pemain baharu.

Selepas bersara

[sunting | sunting sumber]

Selepas bersara daripada permainan profesional pada tahun 1981, Isao Harimoto terus kekal aktif dalam dunia besbol sebagai penganalisis sukan dan pengulas televisyen terutama untuk Sistem Penyiaran Tokyo (TBS). Beliau menjadi salah seorang tokoh sukan paling berpengaruh di Jepun, terkenal dengan pandangannya yang jujur serta pengetahuan mendalam mengenai strategi permainan dan teknik pemukulan.

  1. ↑ "Korean Hitter with Odd Stance Meets Manager Who Had One Too". The Dong-a Ilbo. 2007-03-02. Dicapai pada 2007-12-16.
  2. ↑ Lefton, Brad (2009-04-20). "For Isao Harimoto, the record stands". Seattle Times. Dicapai pada 2009-04-20.
  3. ↑ Dongin, LEE (2025-01-01). "在日韓国人野球選手の張本勲(チャン·フン、84、日本名張本勲)が日本に帰化したことを明らかにした。 韓国野球界に対する残念な気持ちを露にしたという。張本勲は先月29日、日本の産経新聞とのインタビューで." 매일경제 (dalam bahasa Jepun). Diarkibkan daripada yang asal pada 2025-01-05. Dicapai pada 2025-06-04.
  4. ↑ "Hibakusha: Baseball legend Harimoto remembers the horrors of Hiroshima". Mainichi Shimbun. 2006-10-12. Dicapai pada 2007-12-16. [pautan mati]
  5. ↑ "Willie Mays Stats".
  6. ↑ "Alex Rodriguez Stats".

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]